"Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaNya Dia masih menginginkan kebaikan dalam diri"
"Ustaz.Semakin banyak saya belajar agama, semakin banyak benda yang saya rasa saya tak tahu. Dan semakin banyak perkara yang ingin saya ketahui!!" Luahan hati seorang pelajar pada ustaznya
Lalu ustaz pun menjawab " Ya,memang begitu. Menuntut ilmu agama ni ibarat seperti seseorang yang sedang mendaki bukit. Apabila dia tidak mendaki, maka keluasan pandangannya hanya beberapa radius saja. Namun, semakin dia mendaki, semakin luas pandangannya dan semakin banyak benda yang dilihatnya.Begitu juga halnya dalam ilmu agama. Jadi, kamu tidak perlu risau,itulah hakikatnya. Teruskan belajar"
Begitulah senario sekiranya sesorang yang dahagakan ilmu agama. Semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang perkara yang dia tidak ketahui dan ingin ketahui.
Inilah semangat yang diperlukan dalam mempelajari ilmu agama. Jarang sekali dapat kita lihat golongan muda zaman sekarang menanam minat untuk belajar ilmu agama. Tahukah anda bahawa menuntut ilmu agama itu adalah wajib bagi setiap muslim??
Rasulullah Saw., bersabda:
"Menuntut ilmu itu diwajibkan bagi setiap muslim" (Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi, Ibnu Abdil Barr, dan Ibnu Adi, dari Anas bin Malik)
Adapun yang belajar sememangnya menuntut dalam aliran agama. Berapa kerat sahaja yang belajar diluar bidang agama namun mengambil inisiatif belajar ilmu agama?? Adakah kita tergolong dalam golongan ini? Tepuklah dada tanyalah minda.
Sesungguhnya belajar ilmu agama itu indah sekali dan tidaklah susah seperti yang diperlekehkan sesetengah golongan. Namun, haruslah diingatkan bahawa tidak semua orang yang diberikan oleh Allah untuk belajar ilmu agama.
Oleh itu, sesiapa sahaja yang telah diberikan oleh Allah nikmat ini hendaklah bersyukur padaNya. Dalam firman Allah berbunyi :
يُؤتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاء وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ
“Hikmah itu akan diberikan kepada orang yang dikehendaki Allah. Barang siapa yang telah diberikan hikmah, sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak.” (Al-Baqarah: 269)
Dalam satu hadith Rasullullah sallallahu alayhi wasallam :
“Barang siapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka Allah akan memberikan pemahaman yang dalam terhadap agamanya”. (Bukhari-Muslim)
Jadi, sesiapa saja yang mempunyai keinginan untuk belajar agama, teruskanlah niat anda. Sesungguhnya Allah menginginkan kebaikan untuk anda. Carilah sahabat-sahabat yang baik-baik. Rajin-rajinlah pergi ke kuliah-kuliah agama untuk menambahkan ilmu dalam diri.
“Barang siapa keluar dalam rangka thalabul ilmu (mencari ilmu), maka dia berada di jalan Allah hingga kembali.” (H.R. Tirmidzi)
“Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah mudahkan baginya jalan menuju surga.” (HR. Muslim)
Inilah motivasi untuk anda. Allah telah memberikan ganjarannya untuk sesiapa sahaja yang berniat ikhlas dalam menuntut ilmu.
Kita mampu menghabiskan masa selama 14-16 tahun untuk belajar ilmu dunia. Tidakkah terlintas di hati kalian untuk menggunakan sedikit masa dari jumlah masa yang ada untuk belajar ilmu Agama??
Sebagai mahasiswa yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi, gunakanlah sebahagian nikmat kepandaian yang telah Allah kurniakan untuk mendalami ilmu agama.
Gantilah masa terluang yang sebelum ini digunakan untuk perkara yang sia-sia contohnya membaca komik, main komputer game, lepak dengan kawan-kawan, dating, atau perkara yang tidak berfaedah kepada lebih berfaedah pada diri yakni ilmu agama.
Untuk siapa ilmu ini?? Sudah tentu untuk diri anda, keluarga anda dan masyarakat sekitar. Hanya dengan ilmu ini dapat memberikan kejayaan kepada anda dunia dan akhirat.
Wallahu A'lam
0 Response to "Hakikat Belajar Agama"
Post a Comment