Alunan merdu ayat-ayat Al-Quran yang dibaca membantu jemaah untuk khusyuk ketika solat. Kadang-kadang terdengar suara anak-anak kecil mengikut bacaan imam.
Bila dikenangkan kembali saat ketika di jokjakarta, saya tersenyum seorang diri. Bukan kerana lucu atau apa tetapi kerana saya mengenal apa itu islam di sana. Persoalannya, walaupun di Malaysia agama islam adalah agama rasmi, tetapi, islam di Malaysia masih belum nampak berbanding di Yokjakarta.
Kalau di Malaysia, kita akan lihat, apabila anak-anak kecil ikut ayahnya solat di masjid berjemaah, kebiasaannya ayah akan suruh duduk di belakang. Tak pun, bila si anak kecil ini solat sebaris dengan orang dewasa, akan ada di kalangan jemaah-jemaah bersuara
"Eh, korang ni belum sunat lagi, tak boleh solat di sini. Pergi solat kat sof belakang"
atau pun kadang-kadang kita dengar,
"Aiman, aiman solat di sini yer.. abah nak solat di depan. Aiman jangan main-main yer, aiman solat dengan kawan-kawan di sini"
Begitulah situasi yang kita dapat lihat di Malaysia. Anak-anak kecil dibiarkan solat di belakang tanpa bimbingan. Jadi, bila anak-anak ini bertemu dengan rakan-rakan, mulalah mereka bermain dan gagallah matlamat si ayah untuk mendidik anaknya.
Adakah ini yang islam ajarkan kepada kita? Tidak wahai sahabat-sahabatku.
Saya mempelajari benda ini di Indonesia. Di Masjid, kanak-kanak digalakkan satu sof dengan orang dewasa, bukan itu sahaja. Kanak-kanak solat di sof yang pertama. Mereka berebut-rebut untuk mendapatkan sof pertama. MasyaAllah.
Jadi, apa kepentingan bila anak-anak kecil ini dibiarkan solat bersama sof dewasa?
Sebenarnya, solat dalam islam, tidak pernah membezakan golongan tua, dewasa, ataupun anak-anak. Tidak ada dalil pun yang menghalang anak-anak ini untuk solat di sof orang dewasa. Malah, inilah tuntutan dalam islam sebenarnya. Mengalakkan anak-anak solat di sof orang dewasa adalah salah satu kaedah terpenting untuk mendidik anak-anak kecil tentang solat.
Ada satu hadith dari Ibnu Abbas r.a mengatakan " Aku bermalam di rumah bibiku yang bernama Maimunah. Nabi saw bangun dan mengerjakan shalat malam. Aku lalu berdiri di sebelah kirinya, maka beliau pun memegang kepalaku dan meletakkanku di sebelah kanannya " [1]Lihatlah bagaimana Rasulullah saw mendidik Ibnu Abbas, pada ketika ini, Ibnu Abbas ra masih kecil sehingga Rasulullah saw boleh memegang kepalanya dan membawanya ke sebelah kanan. Dalil inilah antara dalil yang diguna pakai untuk menentukan kedudukan makmum apabila bersolat 2 orang.
Dalil ini juga menggalakkan seorang anak kecil solat di sebelah kita dan sekiranya anak kecil itu ingin lari, boleh menahan kepalanya agar kekal pada tempat dimana dia sedang solat.
Kalau di Indonesia dulu, anak-anak kecil yang bermain didalam sof akan dicubit atau dipulas telinga oleh jemaah dewasa ketika dalam solat. Terkejut saya bila melihat perkara ini pada mulanya, tapi, inilah yang kita mahu, pendidikan secara lansung. Inilah cara pendidikan yang terbaik dalam mendidik anak-anak kecil dalam solat.
Begitulah Islam, Islam tidak menyusahkan. Tetapi, budaya setempat menyebabkan Islam itu jadi pelik. Kenapa si anak-anak kecil selalu di lepaskan begitu sahaja di sof belakang. Tidakkah ini akan menggalakkan mereka untuk bermain dan mengganggu jemaah lain? alangkah bagusnya jika anak-anak kecil ini diletakkan di sebelah kita dan kita awasi pergerakannya. Ini baru dinamakan didikan yang betul.
Jadi, apa yang dapat saya pelajari dari peristiwa ini, didiklah adik-adik atau anak-anak kecil dengan betul seperti yang disyariatkan.
Wallahu A'lam
________________________________________________________________
[1]Bukhari dalam Ash Sholat (380), Muslim dalam Al Masajid dan Mawaadi' Ash Sholat (658)
0 Response to "Kenangan Bersama Anak-Anak Kecil"
Post a Comment